Sunday, 3 September 2017

Terapi Gantian Methadone


Dalam entri lepas yang bertajuk “Apa Tugas Farmasi Dalam Hospital”, penulis telah terlepas pandang 1 lagi tugas seorang ahli farmasi dalam hospital yang tak kurang pentingnya tapi seringkali tidak diketahui umum iaitu Farmasi Terapi Gantian Methadone.


Apa Itu Terapi Gantian Methadone?


Terapi Gantian Methadone atau Methadone Replacement Therapy (MRT) adalah satu program yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha Negara menangani HIV/AIDS di kalangan pengguna dadah suntikan dan di masa sama menangani isu penagihan opiat khususnya heroin di Malaysia.


Sebelum MRT diwujudkan, statistic menunjukkan 74% dari jumlah jangkitan HIV yang dilaporkan di Malaysia dari tahun 1986 sehingga 2004 adalah disebabkan penagihan dadah suntikan.

Dan sejak program ini dijalankan bermula oktober 2005, keberkesanan program ini telah terbukti dalam menangani isu HIV/AIDS dan penagihan. Jadi adalah penting program ini dapat diperluaskan perkhidmatan dan liputannya dalam memastikan jangkitan HIV dan penagihan terutamanya opiat dapat terus dibendung.


Dalam program ini, pesakit yang terlibat adalah penagih dadah jenis opiate seperti heroin. Mereka akan diberikan dos Methadone secara oral (ubat sirap) dengan cara DOT (direct observe therapy) dimana mereka harus minum sirap methadone di premis yang disediakan (sama ada di hospital, klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta yang terpilih) dan disaksikan oleh ahli farmasi setiap hari.


Apa Itu Methadone?



Methadone adalah sejenis ubat sintetik yang menghasilkan kesan sama seperti heroin dan morfin dalam mencegah gejala tarikan (akibat tidak mengambil heroin) dan memenuhi keperluan fizikal penagih untuk mengambil heroin dengan menakluki / mengisi tapak reseptor otak yang terjejas oleh heroin dan opiat lain tanpa kesan khayal.

 Methadone bertindak;
• Menghalang kesan euforia dan sedasi daripada opiat;
• Mengurangkan keinginan untuk opiat yang merupakan faktor utama untuk relaps;
• Melegakan gejala tarikan opiat;
• Membolehkan seseorang untuk bekerja dan memainkan peranan dalam masyarakat secara normal

Rawatan Methadone diberi setiap hari sebagai pesakit luar secara oral (ubat sirap). Penyertaan dalam Program Rawatan Methadone ini juga dapat menjadi platform bagi pesakit mengesan masalah kesihatan yang lain seperti HIV, hepatitis dan Tibi.

Objektif Rawatan Methadone


Objektif Umum

Untuk mengurangkan jangkitan penyakit bawaan darah dalam kalangan pengguna
dadah secara suntikan selain membantu dan merawat pesakit yang mempunyai masalah penagihan khasnya opiat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Objektif Khusus

•Mengurangkan risiko dan penyebaran jangkitan HIV dalam kalangan pengguna dadah suntikan dan pasangan.
•Mengurangkan risiko dan penyebaran jangkitan penyakit bawaan darah yang lain seperti hepatitis B dan C.
•Mengurangkan penyalahgunaan dadah opiat dan komplikasi sampingan
•Mengurangkan kejadian pesakit relaps / menagih semula.
•Meningkatkan kesihatan mental dan fizikal pesakit.
•Meningkatkan keupayaan sosio ekonomi pesakit dan membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.
•Meningkatkan kesediaan dan penyesuaian pesakit untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
•Meningkatkan keselamatan masyarakat dan mengurangkan kegiatan jenayah yang dikaitkan dengan penagihan.
•Mengurangkan amalan berisiko melalui suntikan dadah


Mitos Terapi Gantian Methadone



Mitos # 1: Pengambilan methadone adalah sama seperti mengambil dadah opiod heroin atau morfin

Fakta: Methadone adalah tidak sama dengan dadah opioid heroin atau morfin. Methadone adalah sejenis ubat yang digunakan dalam merawat kebergantungan dadah opiod seperti heroin dan morfin. Tindakbalas methadone di dalam badan juga berbeza dengan tiada kesan sedatif jika diambil berbanding pengambilan heroin atau morfin. Malah pengambilan methadone tidak akan menyebabkan urin positif dan bebas daripada tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Mitos # 2: Pesakit methadone yang telah tidak mengambil sebarang dadah terlarang lain sebenarnya mempunyai masalah ketagih kepada methadone pula.

Fakta: Pesakit tidak ketagih kepada methadone tetapi memerlukan rawatan methadone yang berterusan untuk mengekalkan status pemulihan. Methadone yang diambil dengan betul adalah selamat dan bermanfaat, bukan sebaliknya. Konsep rawatan berterusan ini adalah sama dengan konsep rawatan pesakit-pesakit penyakit kronik lain seperti pesakit diabetes, pesakit hipertensi, pesakit asma yang perlu mengambil ubat-ubatan mereka seumur hidup bagi mengawal penyakit mereka.

Mitos # 3: Pesakit yang berada di dalam rawatan methadone tidak boleh melakukan kerja berat dan menunjukkan prestasi kerja yang tidak baik

Fakta: Pesakit methadone yang stabil mampu bekerja berat dengan prestasi kerja yang jauh lebih baik berbanding jika masih mengambil dadah. Pesakit methadone tidak akan mengalami sebarang kesan gian, lentok, lalok ataupun khayal semasa bekerja. Melalui kesan methadone yang lama iaitu sehingga 24jam, pesakit tidak akan merasa gian, tidak perlu resah tentang cara mendapatkan dadah dan bebas daripada kesan khayal selepas mengambil dadah. Maka pesakit boleh fokus bekerja dengan baik. Pesakit sering menyifatkan keadaan mereka sebagai normal dan prestasi kerja sama sekali tidak akan terjejas. Kajian menunjukkan pesakit methadone yang stabil mempunyai koordinasi mata dengan tangan, tindakbalas respon dan pemerhatian yang baik seperti individu normal yang lain.

Mitos # 4: Methadone akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang

Fakta: Methadone tidak akan menyebabkan pereputan gigi dan tulang. Salah satu kesan sampingan pengambilan methadone hanyalah pengeringan mulut disebabkan oleh pengurangan rembesan air liur. Pesakit sering dinasihatkan agar menjaga kebersihan gigi, mengurangkan pengambilan gula dan minum air dengan mencukupi bagi mengelakkan gejala kekeringan mulut. Masalah pesakit mengalami sakit pinggang atau sengal tulang adalah mungkin disebabkan kesan gian yang dialami pesakit dan bukannya disebabkan oleh methadone. pesakit perlu berjumpa dan berbincang dengan pegawai perubatan mengenai dos methadone yang mungkin tidak mencukupi.

Mitos # 5: Pengambilan methadone semasa hamil adalah tidak selamat

Fakta: Methadone adalah ubat yang selamat untuk digunakan bagi merawat masalah kebergantungan opiod dalam kalangan pesakit hamil. Kajian menunjukkan bayi di dalam kandungan tidak mengalami sebarang kecacatan atau tumbesaran yang perlahan dalam tempoh pengambilan methadone oleh ibu. Manakala pengambilan dadah terlarang secara berterusan semasa hamil akan lebih berisiko menyebabkan kecacatan dan mudarat kepada bayi.

Mitos # 6: Sukar untuk memulakan dan berhenti daripada rawatan methadone

Fakta: Setiap pesakit yang ingin dimulakan rawatan methadone perlu disaring terlebih dahulu seperti pemeriksaan darah dan fungsi hati, perkara ini penting bagi memudahkan pegawai perubatan menentukan dos methadone yang selamat untuk diambil pesakit. Disebabkan methadone merupakan ubat sintetik, dos yang diperlukan untuk rawatan adalah berbeza berbanding pengambilan dos heroin atau morfin. Oleh itu saringan perubatan hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Pesakit methadone hendaklah menjalani rawatan sekurang-kurangnya selama 12 bulan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang berkesan. Selepas tempoh itu, jika pesakit yakin akan pemulihan mereka, pesakit dibenarkan untuk melakukan penurunan dos secara berperingkat sebelum boleh berhenti mengambil methadone sepenuhnya.

Persoalan mengenai Terapi Gantian Methadone?


Jika kurang jelas berkenaan therapy gentian methadone ini, boleh ajukan di ruangan komen atau bertanyakan kepada mana-mana ahli farmasi berdekatan anda.

#AskYourPharmacist

Sumber dan rujukan :
1. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia . (2016 Mei). Polisi Dan Prosedur Operasi Piawai Program Rawatan Methadone Edisi Kedua. Putrajaya
2. Portal Rasmi Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM : Methadone Replacement Therapy. Dipetik dari http://www.pharmacy.gov.my/v2/en/content/methadone-replacement-therapy.html
3. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2016 May 3). Mitos Dan Fakta Rawatan Methadone. Facebook status. Dipetik dari https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/10153430503401237:0

Friday, 25 August 2017

Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017


Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017


Bersempena dengan Hari Farmasi Sedunia yang bakal disambut setiap tahun pada 25 September ini, pada tahun ini Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan kesihatan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Malaysian Pharmaceutical Society dan Malaysian Community Pharmacy Guild akan menganjurkan Hari farmasi Sedunia Peringkat negeri Pulau Pinang yang bertemakan "From Research To healthcare : Your Pharmacist Is At Your Service" 

Sambutan ini bakal berlangsung seperti berikut :

Tarikh : 30 september – 1 oktober 2017
Hari : sabtu dan ahad
Jam : 10.30 pagi – 10.00 malam
Tempat : Pusat Beli Belah Queens Bay, Pulau Pinang (aras G zon utara, berdekatan starbucks)


Aturcara Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017


Pada sepanjang hari sambutan tersebut dari pukul 10.30 pagi sehingga 10.00 malam, diadakan pameran, penyaringan kesihatan PERCUMA, dan pertandingan teka kapsul di perkarangan kawasan pameran. selain itu, turut diadakan beberapa acara lain seperti ketetapan berikut :
.

Sabtu ( 30 September 2017)

Masa
Aktiviti
10.30-11.30am
Pertandingan mewarna (kanak-kanak)
12.00pm
Majlis perasmian

Ketibaan Tetamu Jemputan
Ketibaan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang
* Ucapan Aluan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi)
* Ucapan Perasmian oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang
* Gimik Perasmian
* Persembahan Multimedia
* Penyampaian Hadiah untuk Pertandingan Mewarna
* Lawatan ke tapak pameran
* Jamuan

2.00-2.30pm
Ceramah Kesihatan : “Penyimpanan Ubat” oleh Duta Kenali Ubat Anda

3.00-3.30pm
Pertandingan Spell Bee (Kategori bawah 12 tahun)

4.00-4.30pm
Ceramah Kesihatan  : “Antibiotic Awareness” oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi)

5.00-5.30pm
Pertandingan Spell Bee (Kategori 50 tahun ke atas)

6.00-6.30pm
Ceramah Kesihatan : “Bersama Melawan Dengue” oleh Malaysian Pharmaceutical Society



Ahad (1 Oktober 2017)

Masa
Aktiviti
2.00-5.00pm
Treasure hunt
5.30pm
Penyampaian hadiah treasure hunt dan pertandingan teka kapsul.

Jom ke Queens Bay Mall


Jadi, pada 30 september dan 1 oktober tahun 2017 ini, marilah kita sama-sama memeriahkan sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang ni. Sambil membeli-belah, boleh juga datang untuk melakukan saringan kesihatan secara PERCUMA.

Dan jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan berkenaan ubat, boleh tanya ahli farmasi anda di sana. Kami sedia membantu. #AskYourPharmacist . Oh ya, penulis juga akan turun berada di sana untuk bertugas sebagai emcee pada hari tersebut.

Jumpa disana! 


Friday, 11 August 2017

Farmasi Kompounding


Seperti yang telah disebut pada entri lepas yang bertajuk Tugas Farmasi Dalam Hospital, rupanya tak ramai yang tahu antara tugas seorang farmasi dalam hospital adalah menyediakan dan membancuh sediaan ubat dalam bentuk sirap dari ubat biji. Dalam bidang farmasi, ianya dipanggil compounding atau dalam bahasa melayu dipanggil meramu (dari perkataan  dasar ‘ramu’. Contoh kata terbitan : ramuan)

"Wah pertama kali saya tahu pelbagai tanggungjawab ahli farmasi selain bagi ubat kat kaunter. Selama ni ingatkan ubat syrup & krim tu datang dari kilang mcm tu je. huhuhu. Terima kasih ilmu baru dan berguna!"
-Noor Maizan, (2017 Jan 15)

Meramu :  mencari bahan-bahan yg diperlukan utk dijadikan sesuatu: Pagi-pagi lagi, nenek itu pergi meramu akar-akar kayu utk dibuat ubat.
[kamus dewan edisi keempat]

Transformasi peranan ahli farmasi : compounding kepada dispensing



Compounding merupakan antara peranan terbesar bagi seorang yang bergelar ahli farmasi dalam dunia perubatan barat pada suatu ketika dahulu, dimana hampir semua ubat yang di-prescribe oleh doctor adalah ubat yang dibancuh dan disediakan sendiri oleh ahli farmasi.

Kini, semuanya berubah disebabkan oleh kewujudan industri famaseutikal yang pesat membangun terutamanya pada sekitar tahun 1950an dimana ubat tidak lagi dibancuh dan disediakan oleh ahli farmasi tetapi dihasilkan secara besar-besaran oleh kilang-kilang farmaseutikal dalam bentuk sedia digunakan tanpa perlu bancuhan tambahan seperti sirap, tablet, pil, dan sebagainya.

Maka berlakulah transformasi peranan seorang ahli farmasi daripada meramu ubat kepada mendispens ubat. Akan tetapi, sehingga kini teknik compounding masih lagi diajar kepada pelajar jurusan bidang farmasi.

Dispens : Menyedia dan menyerahkan ubat-ubatan kepada yang memerlukan.
[Khidmat Rujukan Persuratan Melayu]

Bila ubat perlu dibancuh di hospital?


Walaupun tak banyak, kini masih terdapat beberapa kes dimana ubat perlu dibancuh oleh ahli farmasi sendiri sebelum di-dispens kepada pesakit. Antara contoh situasi yang dimaksudkan termasuklah :

1. Ubat dalam bentuk dosage form tersebut telah dihentikan pengeluaran oleh kilang-kilang syarikat farmaseutikal yang mungkin disebabkan oleh kos pengeluaran yang terlalu tinggi, produk ditarik balik dari pasaran (recall) dan sebagainya.
2. Kes-kes terpencil dimana seseorang pesakit mempunya alahan pada sesuatu bahan yang terdapat dalam ubat di pasaran selain dari bahan aktif ubat tersebut.
3. Kanak-kanak yang tidak dapat mengambil ubat biji tetapi ubat tersebut tiada dalam bentuk sirap dalam pasaran/stok
4. Ahli farmasi boleh menyediakan beberapa ubat dalam 1 sediaan sekiranya ubat tersebut serasi (compatible) apabila dicampurkan. Hal ini boleh memudahkan pesakit dan dapat meningkatkan kepatuhan terhadap ubat (compliance).



Tuntasnya, dengan adanya bidang dan cabang ahli farmasi sebagai farmasi kompounding dapat mengoptimumkan peranan seorang ahli farmasi sebagai pegawai kesihatan yang pakar dalam bidang ubat (the drug expert) bagi memudahkan pesakit mendapatkan ubat yang sesuai dengan keadaan mereka.

sumber dan rujukan :  

1. An Chau. (2016). Beyond dispensing: The unique role of a compounding pharmacist. MIMS; dipetik dari http://today.mims.com/topic/beyond-dispensing--the-unique-role-of-a-compounding-pharmacist?country=singapore&channel=gn-career
2. MOH Extemporaneous Formulary 2011. Bahagian Perkhidmatan farmasi, Kementerian Kesihatan malaysia.
3. Pusat Rujukan Persuratan melayu DBP

Thursday, 6 July 2017

Persoalan Tentang Bidang Farmasi


Minggu lepas penulis ada menerima 1 email dari seorang pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu bernama Amirah yang menanyakan beberapa persoalan berkenaan ahli farmasi. Nampak gayanya seolah saudari Amirah berminat untuk ceburi bidang farmasi. Welcome to the Pharmily!

Persoalan Tentang Bidang Farmasi   


Berikut merupakan petikan email yang dimaksudkan:

Assalamualaikum En Faiz. Saya Amirah, pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu. Saya ingin bertanya beberapa soalan tentang kelayakan untuk menjadi ahli farmasi.
1) Apakah kelulusan yg diperlukan untuk memasuki bidang ini?
2) Apakah kemahiran yg diperlukan utk berjaya dlm bidang ini?
3) Apakah personaliti/ciri ciri yg perlu ada pd seseorg yg terlibat dlm kerjaya ini?
4) Apakah kelebihan dan keseronokan dalam bidang ini?

Saya harap En Faiz dapat menjawab semua persoalan yg saya berikan ini. Have a good day!

bahan bacaan tambahan[4]


Kelulusan Bidang Farmasi 


untuk lebih jelas berkenaan kelulusan untuk menceburi bidang farmasi ini, maklumat lebih jelas boleh lihat pada entri yang pernah penulis tulis yang bertajuk Kelayakan Minimum Ke Program Ijazah Farmasi

dan sebagai info tambahan, terutamanya bagi pelajar lepasan SPM yang berminat dan ingin tahu laluan perjalanan untuk sampai ke bidang farmasi, boleh rujuk entri yang pernah penulis nukilkan berkaitan laluan untuk belajar farmasi di Malaysia di entri saya bertajuk Laluan ke Farmasi

Kemahiran Diperlukan Untuk Menjadi Ahli Farmasi


kemahiran usahawan pada seorang ahli farmasi
sumber[3]


Kemahiran yang diperlukan ini sebenarnya bergantung kepada sektor apa yang bakal amirah ceburi sebab farmasi ni banyak cabang sebenarnya dan setiap cabang memerlukan kemahiran yang tersendiri. antara yang boleh penulis senarainya termasuklah :

farmasi hospital/klinik
farmasi administrasi
farmasi penguatkuasaan
farmasi runcit/komuniti
farmasi perindustrian
farmasi pendidikan
farmasi RnD, dan sebgainya.

Kalau kemahiran untuk belajar kursus/bidang farmasi ni, ianya tak banyak berbeza dengan pelajar jurusan medical. maksud saya, banyak intipati pembelajaran dalam bidang farmasi ini yang memerlukan penghafalan. Sebab tak kiralah dari sektor farmasi yang mana sekalipun, basic seorang ahli farmasi adalah berkaitan ubat dan ubat tu ada banyak. sudah tentu memerlukan penghafalan yang banyak.

Walaupun terdapat jugak sedikit pengiraan, tapi ianya tak banyak. Akan tetapi bab yang berkaitan dengan pengiraan tersebut tetap ada dan sangat penting! Contohnya bab Therapeutic Drug Monitoring (TDM) dimana kepekatan ubat dalam darah perlu dikira dan dari pengiraan itu, ahli farmasi akan memberi cadangan kepada doktor sama ada perlu atau tidak dos ubat ditukar bagi seseorang pesakit.


 Personaliti Dan Ciri Ahli Farmasi


Bagi pendapat Penulis, ciri-ciri yang perlu ada dalam bidang ini yang paling utama adalah 2 iaitu:

1. Semangat tak mudah berputus asa

Jujur saya katakan belajar dan kerja dalam bidang ini bukan sesuatu yang mudah. Jadi, semangat untuk tak berputus asa itu penting. Banyak kes pelajar yang terkandas semasa belajar yang akhirnya ambil keputusan tukar kursus/bidang di universiti dari farmasi kepada bidang yang lain.

Sebagai contoh, Penulis sendiri bukanlah seorang pelajar cemerlang farmasi semasa di universiti dahulu sehingga terpaksa repeat beberapa exam dan tunda dari 4 tahun kepada 5 tahun pengajian. Tetapi Alhamdulillah, saya tak berputus asa.

2. kemahuan untuk belajar dan terus belajar sehingga mati.

Ahli farmasi harus peka dengan maklumat ubat yang terkini
sumber[2]


Seorang ahli farmasi adalah seorang "life long learner". Sebab ilmu farmasi ini sentiasa berubah bergantung kepada penemuan-penemuan baru, terutamanya ubat-uabt yang baru dalam pasaran. Jadi, kalau rasa dah habis belajar nanti, nak kerja sahaja, malas dah nak belajar dan tambah pembacaan, farmasi bukanlah pilihan yang baik.

mengikut pengalaman penulis, banyak benda baru yang dipelajari sebenarnya semasa sedang bekerja berbanding semasa bergelar student. Jadi, kena sentiasa update ilmu-ilmu farmasi yang terkini walaupun sudah bekerjaya.

Kelebihan/Keseronokan Bidang Farmasi


Susah untuk menjawab soalan ini sebab setiap orang mempunyai keseronokan yang tersendiri. Tetapi bagi saya, ianya lebih kepada kepuasan diri bila dapat berkhidmat dalam bidang farmasi ini. Ada yang seronok bila dia berjaya menyelamatkan nyawa atau meningkatkan kesihatan pesakit. Ada yang seronok bila dapat sampaikan ilmu kepada pesakit berkaitan ubat. Pokoknya, ianya bergantung kepada individu.

kepuasan diri bila dapat sampaikan maklumat yang betul berkenaan ubat
sumber [1]


Dari segi kelebihan pula, pertamanya saya tak nafikan antara faktor sampingan orang pilih kerjaya farmasi adalah kerana aspek kerjaya dan sumber pendapatan yang stabil. Faktor gaji kadang kala tetap ada walaupun ianya bukan faktor utama. Untuk tahu lebih lanjut berkenaan gaji, boleh lihat entri saya bertajuk Gaji Ahli Farmasi.

Selain tu, bila orang tahu kita seorang ahli farmasi, akan selalu juga menjadi tempat rujukan dalam bidang kesihatan terutamanya hal berkaitan dengan ubat-ubatan. bagi saya, saya seronok bila dapat sebarkan maklumat yang betul berkenaan ubat dan kesihatan bila ada orang tanya, contoh macam persoalan amirah ni.

 

Ask Your Pharmacist


Setakat ini dahulu persoalan dan jawapan yang dapat penulis kongsikan. Jika terdapat persoalan-persoalan berkaitan bidang Farmasi, boleh ajukan kepada email mfaizakaria@gmail.com. Yang mana mampu, penulis akan cuba sedaya untuk menjawab. InsyaAllah..

Tanyalah Ahli Farmasi anda. #AskYourPharmacist 



Sumber dan rujukan
1. UCSI University : Our Students. Their Motivation. dipetik dari http://www.ucsiuniversity.edu.my/fops/ourstories/SitiZubaidah.aspx
2. Rosniza Mohd Taha. (2010 July 29). Ahli farmasi harus peka maklumat ubat. Berita Harian; dipetik dari https://umlib.um.edu.my/newscut_details.asp?cutid=1636
3. Kosmo!. (2011 Dec 30) Niaga : CCM-USM lahir usahawan farmasi komuniti, ms 57. dipetik dari http://202.170.56.249/index.php/papercutting/9308-ccm-usm-lahir-usahawan-farmasi-komuniti.html
4. pts.com.my : buku - kerjaya dalam bidang farmasi. beli online di http://pts.com.my/buku/kerjaya_dalam_bidang_farmasi/

Thursday, 12 January 2017

Apa Tugas Farmasi Dalam Hospital?

Pernah terfikir tak, apa sebenarnya tugas-tugas ahli farmasi dalam hospital? Disini penulis ingin berkongsi kepada anda antara tugas-tugas yang dilakukan oleh ahli farmasi yang mungkin pesakit atau orang awam tak pernah tahu.

Farmasi bukan sekadar tukang bagi ubat.

Perkongsian ini banyak berdasarkan pengalaman penulis bertugas di Hospital Pulau Pinang pada tahun lepas (kini penulis tidak lagi bekerja dalam bahagian hospital). Lain hospital mungkin berbeza sedikit cara kerja ahli farmasi di sana tetapi secara amnya, tak banyak beza. 

Apa Tugas Farmasi Dalam Hospital?



Berikut antara tugas-tugas ahli farmasi di hospital. Nanti jika berkesempatan, penulis akan cuba kongsi tugas-tugas ahli farmasi di luar bidang hospital pula. 

1) dispense ubat (farmasi pesakit luar)


Ini antara tugas seorang ahli farmasi yang paling menonjol dalam hospital ketika pesakit datang ke farmasi pesakit luar untuk mengambil ubat. Pesakit serahkan kertas preskripsi, ambil nombor dari ahli farmasi, tunggu nombor dipanggil dan pergi ke kaunter untuk mengambil ubat.

Itu hanya apa yang mungkin pesakit atau orang awam Nampak. Tapi hakikatnya banyak perkara yang berlaku. secara ringkasnya : 
a. mengambil nombor, proses penyaringan (screening) pertama telah berlaku
b. mengisi ubat. Sekali lagi senarai ubat disemak
c. melabel ubat. Sekali lagi senarai ubat disemak.
d. proses semak silang dimana ubat anda di semak sekali lagi.
e. dispense. Sambil ubat diberikan dan diterangkan cara pengambilan, proses semakan dilakukan buat kali terakhir.


2) kaunseling ubat



Bagi pesakit yang menggunakan ubat yang memerlukan alatan yang tertentu, disini tugas seorang farmasi kaunseling diperlukan untuk ajar cara menggunakannya terutamanya bagi pesakit yang pertama kali mengambil ubat tersebut.

Contoh seperti ubat/alatan sedutan untuk penyakit lelah, suntikan insulin untuk penyakit kencing manis, dan sebagainya. Tak ramai yang perasan tetapi ahli farmasi kaunseling juga terdapat dalam wad!

3) Farmasi pesakit dalam


Walaupun ubat dalam wad diberikan oleh staff nurse, tetapi ubat tersebut tetap dibekalkan oleh ahli farmasi. Proses screening tetap berlaku seperti dalam farmasi pesakit luar, sebelum ubat tersebut sampai kedalam wad melalui trolley ubat.

4) memeriksa kepekatan ubat dalam darah 



Bagi pesakit dalam wad yang mengambil ubat-ubat yang tertentu, darah pesakit akan diambil dan ahli farmasi akan menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan mesin khas* bagi mengetahui kepekatan ubat tersebut dalam darah pesakit. 

Dari situ, tahap kepekatan akan diinterpretasi oleh ahli farmasi dan cadangan akan diberikan kepada pihak doktor sama ada untuk menambah dos, mengurangkan, atau menghentikan rejimen ubat.

*bergantung kepada hospital, adakalanya juruteknikel makmal yang menjalankan mesin khas tersebut.

5) bancuh ubat chemo.



Ubat kanser atau chemo didatangkan kepada pihak hospital dalam keadaan yang perlu dibancuh dan proses pembancuhan ini sangat merbahaya sehinggakan ahli farmasi yang membancuhnya perlu memakai sut khas dan melakukannya dalam bilik bersih (clean room).

Selain itu, ahli farmasi Chemo juga memberikan khidmat nasihat serta cadangan kepada doktor berkenaan rejimen ubat chemo.

6) bancuh cecair drip nutrisi



Bagi pesakit dalam wad yang langsung tidak boleh makan disebabkan masalah sistem penghadaman atau bayi pramatang, mereka diberikan nutrisi melalui drip air yang dimasukkan terus kedalam salur darah.

Proses bancuhan ini juga agak rumit dan memerlukan ahli farmasi memakai sut khas dan melakukannya dalam clean room supaya bancuhan tersebut tak tercemar dengan benda asing dan kuman. 

7) jaga stok ubat


Proses perolehan ubat di hospital sebenarnya diuruskan oleh ahli farmasi bermula dari proses pemesanan, pembelian, penyimpanan stok, dan pengagihan ubat serta alatan perubatan yang lain.


8) bancuh ubat sirap untuk pesakit kanak-kanak.



Bagi pesakit kanak-kanak yang memerlukan dos ubat yang kecil tetapi ubat sirap tersebut tiada dalam pasaran, ahli farmasi akan membancuh sirap dimana ubat biji akan dihancurkan dan dibuat dalam bentuk sirap.

9) bancuh ubat sapuan


bagi sesetengah hospital, khidmat pembancuhan ubat sapuan seperti krim, salap, lotion dan sebagainya turut disediakan dimana ahli farmasi akan ditugaskan untuk mengawal selia proses ini.

10) farmasi wad


Sepertimana doktor, ahli farmasi juga akan ditugaskan untuk memeriksa pesakit dalam wad cuma tak semua wad ada seorang ahli farmasi tertentu yang bertugas. Ianya bergantung kepada bilangan tenaga kerja ahli farmasi yang ada dan keutamaan kepada wad yang betul-betul memerlukan.

Bagaimana cara mengenal ahli farmasi wad? Mereka selalunya memakai 'lab coat' putih tanpa memakai stethoscope, dan selalunya mereka membawa file ditangan, dan calculator di dalam poket lab coat.

11) khidmat nasihat


Jabatan farmasi di hospital juga akan turut menyediakan perkhidmatan hotline dimana sebarang persoalan berkenaan ubat oleh doktor, atau mana-mana staff hospital boleh ditanya melalui telefon. Unit ini dipanggil drug info unit atau drug info service.  

Farmasi Luar Bidang Hospital


sebenarnya ada banyak lagi cabang farmasi yang tak ramai orang tahu. jika berkesempatan di lain kali, penulis akan cuba kongsikan pula tugas-tugas dan peranan ahli farmasi dalam bahagian penguatkuasaan, pengurusan, dan lain-lain lagi.  

Friday, 18 November 2016

Makanan Mengurangkan Stres


Semua orang mengalami tekanan perasaan (stress) dan bermacam cara telah diambil oleh orang ramai bagi menghilangkan stress. Ada yang menggunakan cara yang positif akan tetapi ada juga yang mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

Jika pada entri yang lalu penulis ada kongsikan apa yang berlaku pada mereka yang membunuh diri dengan menelan panadol dengan kuantiti yang banyak, kali ini kita tengok pula antara langkah yang boleh diambil bagi menangani stress.

Makanan mengurangkan stres



Berita baik bagi mereka yang asal  stres je, dia makan! Malah, jangan tak tahu. Ada yang boleh stres hanya disebabkan dia lapar!

Tahukah anda, pemilihan makanan yang betul juga dapat membantu mengurangkan stress? Disini penulis kongsikan beberapa makanan yang boleh diambil sekiranya anda semua mengalami stres.

1. Coklat gelap (dark chocolate)


kitkat 70% cocoa (pasaran UK)

Ya! Coklat dapat mengurangkan stress. Tapi, pastikan anda mengambil colat yang mengandungi 70% kandungan koko dan keatas. Selain kurang kandungan gula, dark chocolate tinggi dengan kandungan flavonoids, sejenis anti-oksidan yang melebihi 5 biji buah epal.

Dark chocolate juga mempunyai phenylethylamine, yang struktur kimianya hampir menyerupai endorphins, sejenis bahan kimia semula jadi yang dikeluarkan badan bila anda berada dalam keadaan mood yang baik.

pastikan dark chocolate 70% cocoa atau lebih.

Menurun kajian dari Journal of Psychopharmacology, mereka yang minum minuman coklat setiap hari (kandungan menyamai 1.5 ounces atau hampir 42.5g dark chocholate) merasa lebih tenang berbanding mereka yang tidak. Kesan penenang ini datang dari  anandamide, sebuah neurotransmitter yang dihasilkan otak yang mampu menghalang perasaan kesakitan dan kemurungan.

Selain itu, dard chocolate mengandungi magnesium yang membantu tubuh badan melawan stress, keletihan dan perasaan cepat marah.

Tapi anda harus ingat, coklat tinggi kandungan kalori. Oleh itu, pantau dan kurangkan kandungan kalori yang anda ambil setiap hari sekiranya ingin mengambil coklat.

2. sayur hijau



Bertukarlah dari memakan makanan ringan ketika stress kepada makanan yang mengandungi sayur-sayur hijau seperti broccoli, lobak merah, daun saleri dan sebagainya. Broccoli sahaja tinggi dengan kandungan vitamin B yang membantu tubuh badan mengurangkan stress, panik, dan perasaan kebimbangan.

Selain itu, sayur hijau kaya dengan folate yang membantu mengurangkan homocysteine, sejenis kompaun yang boleh mengganggu penghasilan serotonin dan dopamine, yang membantu badan mengawal mood, selera makan, dan tidur.

Sayur hijau juga tinggi dengan kandungan mineral seperti potassium, calcium, magnesium and phosphorous yang membantu mengurangkan hormon stress, yang seterusnya dapat membantu memulihkan mood anda.

3. buah oren



Semua sedia maklum buah oren kaya dengan vitamin C yang boleh membantu menurunkan tahap cortisol dalam badan kepada normal. Tambahan pula. Cortisol, sejenis hormone stress yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal apabila stress, boleh melemahkan sistem imunisasi badan.

Kajian menunjukkan mereka yang mengambil 1,000mg vitamin C sebelum memberikan ucapan mempunyai tahap cortisol yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak.

4. Blueberries



Selain buah oren, buah blueberries  juga boleh diambil ketika stress. Selain kaya dengan bahan anti-oksida, Blueberries mempunyai anthocyanins yang membantu otak menghasilkan dopamine, bahan yang bertanggung jawab mengawal mood.

Selain itu, ianya juga tinggi dengan kandungan manganese, yang boleh membantu melawan stress. Malah, kajian membuktikan memakan buah blueberries secara kerap boleh mambantu mengurangkan symptom stress seperti insomnia, tekanan perasaan, dan lain-lain mood disorders.


5. salad ayam belanda (turkey salad)



Ayam belanda mempunyai tryptophan yang boleh memberikan kesan penenang, yang sangat baik diambil ketika berada dalam keadaan stress.

[nota : patutlah bila stress, penulis selalu kempunan nak makan sandwich turkey breast subway.]

6. buah pisang



Umum mengetahui pisang kaya dengan potassium yang membantu mengawal tekanan darah dalam badan.

Tips : buah pisang boleh diambil bagi menggantikan ais krim yang tinggi dengan kandungan gula, sebagai makanan ketika stress. Hanya sejuk bekukan buah pisang semalaman dan makan bila anda rasa stress.

kesimpulan


Menurut Dr. Drew Ramsay, assistant clinical professor of Psychiatry di Columbia University College of Physicians & Surgeons yang juga merupakan penulis kepada buku The Happiness Diet, "Nothing stresses the brain more than thinking it is running low on nourishment". Jadi, pilihlah makanan yang menggembirakan dan dalam masa yang sama menyihatkan akal dan tubuh badan.

Dan ingatlah, diet yang sihat tidak bermakna tanpa senaman dan gaya hidup yang sihat, yang juga telah terbukti dapat mengurangkan stress! Akhir kata, tanganilah stres dengan bijak! Dan sekiranya terdapat persoalanlanjut tentang cara menangani stress dengan bijak, rujuklah kepada mereka yang ahli dalam bidangnya.


sumber dan rujukan:
1. Wei Wei Lee. (2016 Nov 4). Healthcare professionals: 4 superfoods that can help you with stress relief. MIMS. dipetik dari http://today.mims.com/topic/healthcare-professionals--4-superfoods-that-can-help-you-with-stress-relief?country=Malaysia&channel=GN-Health-Wellness&elq_mid=8055&elq_cid=4274
2. (2016 Apr 8). 5 food items to eat when stressed. MIMS. dipetik dari http://today.mims.com/topic/5-food-items-to-eat-when-stressed?country=singapore&channel=gn-health-wellness

Wednesday, 2 November 2016

Infografik | Bajet 2017 dan Peruntukan Kesihatan Negara


Bajet 2017 dan Peruntukan Kesihatan Negara


Baru-baru ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, telah pun membentangkan bajet 2017 dan antara intipati bajet tersebut, sebanyak Rm 25 billion telah didiperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan malaysia (KKM) bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat malaysia dalam negara ini.

 Infografik Pembahagian Bajet 2017 Bagi Sektor Kesihatan



Pembahagian RM25 Billion dalam kementerian Kesihatan malaysia


Bagaimanakah seterusnya peruntukan sebanyak RM 25 Billion ini dibahagikan?  

1) RM536 juta diperuntukan untuk membina dan menaik taraf fasiliti hospital di negeri Perils, Kuching, Mukah, Jempol, Muar dan Johor Bahru. Ini termasuklah penyediaan peralatan rawatan kardiologi di Hospital Serdang, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru serta pembelian 100 buah ambulans.

2) RM4.5 billion diperuntukan untuk tujuan operasi 340 Klinik 1 Malaysia, 11 klinik bergerak 1 Malaysia, 959 klinik kesihatan dan lebih dari 1,800 klinik desa.

3) RM4 billion diperuntukan bagi mendapatkan ubat, 'consumables' vaksin dan reagen kepada semua hospital dan fasiliti kerajaan.

4) RM20 juta diperuntukan untuk pinjaman untuk pembelian kelengkapan hospital swasta bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan melalui bekerjasama dengan pihak swasta atau NGO yang mengendalikan hospital bukan bermatlamatkan keuntungan mengikut kadar kos hospital

5) Bagi pesakit yang kurang berkemampuan, sebanyak RM110 juta diperuntukkan iaitu RM70 juta untuk bantuan perubatan kepada 10,000 pesakit yang kurang berkemampuan bagi tujuan bantuan perubatan.

6) Bagi menggalakkan lebih banyak pusat hemodialisis swasta dibuka, diperuntukkan RM200,000 sebagai geran sekali bayar untuk pembelian peralatan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 juta.

7) Bagi pencegahan dan kawalan ke atas penularan penyakit berjangkit dan seperti wabak denggi dan Zika di negara ini, kerajaan turut memperuntukkan RM80 juta bagi Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) bagi melaksanakan inisiatif pencegahan dan kawalan penyakit.


sumber dan rujukan
1. Brenda Lau. (2016 Oct). Infographic: Breaking down Budget 2017 spending for Malaysia’s healthcare system; MIMS. dipetik dari http://today.mims.com/topic/infographic--breaking-down-budget-2017-spending-for-malaysia-s-healthcare-system?country=Malaysia
2. Brenda Lau. (2016 Oct). Budget 2017: How exactly will the healthcare allocation be utilised?; MIMS. dipetik dari http://today.mims.com/topic/budget-2017--how-exactly-will-the-healthcare-allocation-be-utilised-?country=malaysia 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...